Sumber Dari : UTUSAN MALAYSIA EDISI TIMUR 9 MEI 2013
KOTA BHARU 8 Mei - Menunggang kuda
antara riadah yang disebut secara jelas dalam petikan hadis Rasulullah SAW
sebagai salah satu sunah yang dituntut untuk diajarkan khususnya kepada
generasi muda selain aktiviti memanah dan berenang.
Kemahiran manusia 'bersatu' dengan
ketangkasan kuda semasa mengendalikan haiwan gagah itu berupaya membentuk
peribadi unggul yang mempunyai fizikal cergas dan minda yang tenang dalam
menghadapi apa-apa jua situasi.
Tidak dapat dinafikan wujud banyak
cabang berkaitan aktiviti menunggang kuda, tetapi agak malang ia diungguli
masyarakat Barat meskipun mempunyai akarnya dalam ajaran Islam.
Sukan ekuestrian seperti dressage
dan jumping misalnya adalah antara jenis acara utama yang
dipertandingkan dalam Sukan Olimpik sekali gus memberi peluang atlet terlibat
menghadiahkan pingat untuk negara mereka. Antara nama tersohor yang meniti di
bibir peminat adalah atlet Jerman, Michael Jung, juara unggul di pentas
kejohanan ekuestrian dunia masa kini.
Negara kita pula boleh berbangga
dengan pencapaian Qabil Ambak, jaguh dressage yang pernah menggondol
pingat perak dan gangsa dalam Sukan Asia dan setakat ini masih belum ada
tandingannya.
Namun, jika tidak dipecahkan ruyung
masakan mendapat sagunya.
Justeru berbekalkan minat tinggi dan sokongan
rakan-rakan, seorang guru, Mohd. Faizal Ismail, 43, menubuhkan Kelab
Poni Kelantan pada 2004 dengan tujuan melahirkan lebih ramai bakat tempatan
dalam bidang ekuestrian.
Dalam masa sama, Mohd. Faizal yang
mengajar Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di sini mahu menggunakan peluang
itu sebagai 'tiket' membolehkan beliau sendiri mengambil bahagian mewakili
kelab ke kejohanan atau pertunjukan kuda, malah pernah menduduki tempat keenam
keseluruhan acara dressage semasa National Horse Show 2010 di Ipoh,
Perak.
"Saya amat minat sukan dressage
dan jumping kerana ia menuntut disiplin tinggi daripada penunggang. Ia
adalah sukan yang menonjolkan hubungan semula jadi antara manusia dan haiwan.
"Apabila berada dalam
gelanggang, seorang penunggang bukan bergantung kepada kemahiran seorang tetapi
juga kuda dan dalam masa sama perlu bijak mengawal emosi diri dan kuda di
hadapan khalayak.
"Sukan ini memperlihat
keseluruhan perawakan penunggang daripada pakaian kepada komunikasinya dengan
kuda, paling utama adalah bagaimana dia menyeimbangkan kedudukan badannya
dengan kuda.
"Kami bukan melatih golongan
muda yang menyertai sukan 'berlumba' kuda laju sembarangan, tetapi menunjuk ajar
cara menunggang dengan disiplin tertentu mengikut peraturan bagaikan satu seni
yang menggabungkan kudrat manusia dan haiwan," katanya kepada Utusan
Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagi anda yang pernah menonton
siaran langsung Sukan Olimpik di kaca televisyen, pasti pernah melihat kelibat
penunggang kuda berpakaian segak dengan topi, jaket dan kasut but hitam serta
seluar jopper putih menunggang kuda dengan aksi 'santun' tetapi tangkas
sambil disaksikan ribuan pasang mata di sekeliling gelanggang.
Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa
(IEF) mendefinisikan dressage sebagai bentuk paling tinggi latihan kuda
di mana penunggang dan kuda perlu menghasilkan siri pergerakan tertentu yang
sudah ditetapkan, manakala jumping pula memfokuskan kepada kemahiran
melompat pagar.
Mohd. Faizal yang lulus Sijil O
Level pengurusan kuda pada 2000 dan merupakan instruktor Kelab Poni bertauliah
Majlis Ekuin Malaysia (MEM) tunggal di Kelantan berkata, pihaknya juga
menyelaras program Riding in School (RISP) Majlis Sukan Sekolah - sekolah
Malaysia (MSSM) di negeri ini yang bermatlamat mencambahkan lagi penyertaan
awam dalam sukan itu terutama dalam kalangan pelajar sekolah.
Jelasnya, kelabnya yang kini melatih
25 penunggang, beroperasi di tanah lapang milik Yayasan Orang Kurang Upaya
Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa dan sebagai timbal balik pihaknya membantu
mengendalikan program terapi kuda untuk pemulihan kanak-kanak OKU yang
berdaftar dengan yayasan tersebut.
Beliau yang lebih mesra dengan
panggilan Cikgu Faizal berkata, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan penuh
MEM yang bukan sahaja membekal lima kuda untuk kegunaan kelab, bahkan
menanggung pembiayaan makanan harian haiwan tersebut seperti palet beras dan
rumput kering.
Jelasnya, kuda-kuda tersebut
digunakan untuk latihan dan pertandingan seluruh negara seperti kejohanan wajib
bagi peminat sukan ekuestrian tempatan iaitu National Horse Show di Pulau
Pinang dan Perak yang mula disertai kelabnya sejak 2005.
"Kuda import yang berusia
purata 14 tahun ini mempunyai nama asal yang unik iaitu Portous, Farouk, Laoma,
Plush Lady dan Baja King.
"Antara langkah memastikan
kesihatan kuda ini adalah dengan memberi suntikan mencegah jangkitan penyakit
seperti Japanese Encephalitis (JE) dan Equin Influenza (EI) selain suntikan
tambahan khusus yang dikenakan sebelum menyertai pertandingan, contohnya
suntikan Tetanus dan Herpes mengikut syarat penganjur,"
katanya.
Menyentuh mengenai cara latihan di
kelab poni itu, beliau memberitahu, penunggang semuda usia enam tahun
ditunjukkan cara mengendalikan kuda dari A sampai Z iaitu bagaimana kuda
seharusnya dilayan dalam kandang, memberi makan dan membelai sehinggalah kepada
kaedah menunggang mengikut disiplin sebenar sukan ekuestrian.
"Jangan silap sangka bahawa
kita ini bertaraf 'tuan' kepada kuda, tetapi seorang penunggang sebenarnya juga
adalah 'hamba' kepada kuda.
"Setiap pelatih wajib membuang
najis kuda dan membersihkan kandang serta memandikan kuda setiap kali selesai
sesi latihan," katanya.
Mohd. Faizal berkata, kelab tersebut
membuka pintu seluas-luasnya kepada yang berminat tanpa mengira umur.
Di sebalik kekangan kewangan,
katanya, dia bersyukur kerana dengan sokongan pelbagai pihak, kelab itu sudah
berjaya melahirkan beberapa bakat yang diyakini berupaya menguasai dunia
ekuestrian negara satu masa nanti.
"Antara bakat terbaik kelab
kami adalah Ahmed Ezihan Shafizie Sazali, 20, yang pertama kali terpilih
mewakili Kelantan dan mendapat tempat keempat di Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di
Terengganu dalam acara showjumping ketika berusia 15 tahun serta menjadi
johan acara sama semasa mewakili kelab ini ke kejohanan Penang Turf Club
Equestrian Horse Show pada 2010.
"Seterusnya, Ahmed Ezihan
dijemput mewakili Pulau Pinang semasa Sukma 2012 di Pahang sehingga berjaya
membantu negeri itu menduduki tempat keempat acara ekuestrian berpasukan.
"Pada tahun ini, dia bersama
seorang lagi penunggang berbakat kami iaitu Mohd. Aminuddin Ali, 21, dilamar
pula pasukan Perak untuk acara sama," katanya.
Menurutnya, pihaknya kini sedang
giat membuat persiapan dan latihan bagi menghantar 15 wakil menyertai kejohanan
Universiti Teknologi Malaysia International Johor Horse Show (UTM IJHS) 2013
pada bulan Jun ini.
Sementara itu, salah seorang pelatih
kelab yang ditemui, Nik Irdiana Asilah Nik Yusoff, 11, berkata, dia
menyertai kelab itu sejak tahun lalu mengikuti jejak langkah kakaknya, Nik
Nadhrah, 15, yang menyertainya lebih awal.
Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C)
Chung Hwa Kota Bharu itu memberitahu, seorang pelatih perlu melepasi tahap
tertentu seperti pandai memandikan kuda sebelum dibenarkan berlatih menunggang
haiwan itu.
"Saya juga kena tahu kegunaan
setiap peralatan yang dipasang kepada kuda, contohnya pemijak kaki besi, pelana
dan tali kekang serta mesti memastikan cara pemasangan betul jika tidak kena marah
dengan Cikgu Faizal.
"Ketika membawa kuda keluar
dari bangsal, penunggang muda seperti saya perlu ditemani pelatih lain yang
lebih dewasa sebagai langkah keselamatan.
"Saya pernah jatuh semasa
berada atas kuda yang sedang makan rumput, mujurlah saya hanya luka kecil
sahaja dan ia tidak menjejaskan semangat saya untuk terus berlatih
menunggang," katanya.
Kakaknya, Nik Nadhrah
berkata, dia mengamalkan bacaan lafaz dua kalimah syahadah sebagai cara
menenangkan kuda yang ditunggangnya tidak kira ketika latihan ataupun
pertandingan dan bercita-cita besar untuk mewakili negara dalam sukan
ekuestrian.
Bagaimanapun, gadis berperwatakan
lembut itu berkata, dia pernah kecewa apabila kuda bernama Laoma yang
ditunggangnya bertindak keluar gelanggang semasa menyertai acara dressage
kejohanan UTM IJHS 2012 pada April tahun lalu.
"Saya menangis kerana
seolah-olah saya ini seorang yang tidak pandai mengawal dan mengambil hati
kuda, tetapi ibu menemani saya dalam pertandingan itu memujuk saya agar tidak
berputus asa, begitu juga dengan peserta senior lain yang memberitahu saya
bahawa insiden kuda membuat perangai bukanlah satu perkara pelik,"
katanya.
Seorang lagi pelatih yang juga
penuntut tahun tiga Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan
(UMK), Shirley Peter Magarif, 23, berkata, dia menyertai kelab berkenaan
untuk mendalami lebih dekat sukan ekuestrian.
Katanya, sebagai bakal doktor
veterinar, dunia ekuestrian adalah antara prospek masa depan yang akan
ditempuhi, justeru adalah lebih baik dia mengutip sebanyak mungkin ilmu secara
langsung dalam lapangan itu.
"Kebetulan kelab ini berdekatan
sahaja dengan kampus UMK, jadi saya mudah untuk berulang alik setiap kali ada
kelapangan waktu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130509/wt_04/Lahir-jaguh-sukan-ekuestrian#ixzz2SqA2sVax
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment