Thursday, 31 January 2013

Berkuda Tajamkan Fokus Minda





SUDAH menjadi persepsi ramai bahawa sukan berkuda sering dikaitkan dengan status sosial seseorang kerana kuda sinonim sebagai lambang kemegahan. 

Bagaimanapun, hari ini persepsi seperti itu seharusnya dikikis memandangkan semakin banyak pusat sukan berkuda boleh disertai orang ramai pada harga berpatutan.

Apatah lagi, sukan berkuda bukan sahaja menjadi satu rekreasi yang menyihatkan tubuh, bahkan mental seseorang.




Disebabkan itu, Kelab Ekuestrian Asia (AEC) dan sebuah syarikat berpengkalan di United Kingdom, Oxcell Inspire mengasaskan program kepimpinan berkuda yang pertama di Asia. Program Kecemerlangan Kepemimpinan Berkuda Al-Muharib (KKBA) itu dicetuskan bagi memecahkan batasan keupayaan manusia menerusi penguasaan kawalan pergerakan kuda dan komunikasi antara penunggang dengan haiwan pantas itu.

Presiden AEC Malaysia, Datuk Dr. Nek Abd. Rahman Saleh berkata, program tersebut menerapkan pelbagai nilai tambah bagi menyerlahkan sifat khalifah dalam diri pesertanya.

“Apabila anda menunggang kuda, fikiran akan menjadi lebih fokus kerana minda akan dilatih untuk menumpukan perhatian terhadap cara menstabilkan diri agar tidak jatuh dan pada masa yang sama berupaya mengawal pergerakan kuda.

“Kuda mengajar penunggangnya untuk tidak berputus asa dan teruskan mencuba sehingga berjaya. Ia diibaratkan semangat juang seorang pahlawan,” katanya ketika ditemui di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Latihan tersebut berjaya melatih individu berkenaan untuk lebih bersemangat dengan tindakan dan keputusan yang perlu diambil pada masa akan datang.

Pada masa sama, aktiviti menunggang kuda turut menerapkan nilai kerjasama berkumpulan, semangat juang ketika bekerja, kaedah berinteraksi yang berkesan dan pergaulan rapat dalam kalangan peserta program.

“Kuda juga boleh membantu seseorang membina keyakinan diri menerusi kejayaan mereka mengawal pergerakan kuda yang sukar pada awalnya. Kombinasi pergerakan badan, rentak tunggangan kuda dan suhu sekeliling pula membantu keupayaan tubuh memulihkan sistem saraf dalam badan si penunggangnya,” katanya.


Pendiam Jadi Periang
Individu yang pendiam dan sukar menyesuaikan diri dengan individu lain boleh mencuba rawatan terapi terkini menggunakan kuda.

Mereka akan diajar cara untuk berkomunikasi dengan kuda bagi mendapatkan keserasian antara penunggang dengan seekor kuda.

Lama-kelamaan, peserta yang mengalami masalah pendiam atau lebih dikenali sebagai introvert ini berubah menjadi seorang yang mudah bergaul dengan orang lain.

Menurut Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, seorang yang introvert suka memendam perasaan dan bersikap mendiamkan diri.

“Masyarakat boleh mengajak individu yang pendiam untuk bergaul seperti berborak dan menjalankan aktiviti bersama-sama. Perkara tersebut dapat membantu mereka berubah sedikit demi sedikit,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.



Kepimpinan berkuda
Di Eropah, program kepimpinan berkuda diwujudkan untuk menunjukkan betapa kelakuan seseorang mempengaruhi tindak balas sebenar haiwan atau individu lain dalam dunia nyata.
Latihan tersebut membolehkan pesertanya mengamalkan tingkah laku yang lebih konstruktif, seterusnya membantu mereka membina hubungan yang lebih akrab dengan orang lain serta menggalakkan peningkatan prestasi di tempat kerja.

Berbeza dengan manusia, seekor kuda tidak memiliki niat tersembunyi di sebalik setiap perlakuannya.
Kuda akan bertindak balas terhadap apa yang dilihatnya. Ia menggunakan emosi dan pergerakan fizikal bagi menunjukkan perasaannya kepada situasi yang dialaminya pada ketika itu.
Jurulatih kepimpinan berkuda di Eropah mempercayai sikap seseorang terhadap kuda mencerminkan sikap mereka bergaul dengan makhluk lain.

Lazimnya, latihan bersama kuda dapat membantu seseorang meningkatkan keupayaan berkomunikasi secara berintegriti, jelas dan mudah mendapat perhatian.
Sikap kepekaan kuda mengajar penunggangnya cara untuk menjadi ketua yang mampu berkomunikasi dengan efektif dan membentuk kerjasama antara anggota bagi mencapai kecemerlangan pentadbiran sesebuah organisasi.

Dalam pada itu, KKBA yang mula bertapak di Malaysia pula menggunakan khidmat jurulatih bertaraf antarabangsa bagi memastikan peserta program tersebut menerima pendedahan terbaik tentang prinsip yang hendak diterapkan.

“Al-Muharib mempunyai seorang ketua jurulatih yang berpengalaman melatih kuda dalam sukan Olimpik manakala lima orang lagi merupakan jurulatih tempatan yang memiliki sijil pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Badan korporat atau organisasi yang berminat boleh menghubungi AEC di talian 03-4142 7958 untuk sebarang maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment