![]() |
AKTIVITI memanah sambil berkuda dilakukan Simon Yin ketika mengacarakan program Hidden Cities: Extreme di Malaysia baru-baru ini. |
Menurut pengacara program Hidden Cities: Extreme
iaitu Simon Yin berusia 35 tahun yang berasal dari Los Angeles,
Amerika Syarikat, dia bukanlah seseorang yang mempunyai kemahiran baik
dalam kedua-dua sukan tersebut. Bagaimanapun peluang yang diberi untuk
mencubanya tidak mahu dilepaskan begitu saja.
"Pertama kali melibatkan diri dengan aktiviti ini, rasanya amat sukar
kerana perlu mengimbangkan diri di atas kuda yang sedang bergerak
selain kedua-dua tangan memegang busur dan anak panah.
"Selain itu, sukan ini juga memerlukan kita untuk memberikan fokus
dan konsentrasi sepenuhnya untuk memastikan anak panah yang dilepaskan
tidak terkeluar dari sasaran," jelasnya yang masih belum berkahwin.
Pengacara yang juga seorang penerbit dan pengarah itu berkata, sukan
tersebut boleh dijadikan satu aktiviti senaman yang baik kerana ia
melatih kemahiran dan konsentrasi kita.
"Ia juga merupakan cara yang baik untuk mengeluarkan peluh kerana
aktiviti ini memaksa kita menggunakan seluruh anggota badan untuk
menjayakannya.
"Pada mulanya, ia memang agak sukar buat saya tetapi mujurlah saya
mempunyai jurulatih yang hebat dalam sukan tersebut dan selepas berlatih
beberapa kali, saya semakin serasi dengannya," katanya lagi.
Yin juga menegaskan bahawa sukan itu mempunyai daya tarikan
tersendiri, apatah lagi ia bukanlah sejenis sukan yang baru dan ramai
tokoh-tokoh sejarah juga mahir dengan aktiviti tersebut.
![]() |
"Oleh itu, apabila diberitahu oleh pihak produksi bahawa saya
berpeluang untuk mencuba aktiviti ini, saya amat gembira kerana gabungan
memanah dan berkuda adalah sesuatu yang baru buat saya," ujarnya.
Tambah pengacara itu, selain berpeluang mempelajari sukan tersebut,
dia juga melibatkan diri dengan beberapa aktiviti mencabar sewaktu
menjalankan penggambaran di Malaysia untuk rancangan baru tersebut yang
akan disiarkan di History Channel, saluran 555 Astro.
Program terbaru ini akan membawa penonton mengembara ke beberapa buah
negara sekitar Asia antaranya Filipina, Korea Selatan, Thailand,
Indonesia dan juga Malaysia.
Antara aktiviti mencabar lain yang dilakukan untuk episod di Malaysia
adalah belajar cara-cara menangkap ular serta memancing ikan layar di
Laut China Selatan.
No comments:
Post a Comment