Thursday 1 March 2012

Menunggang Kuda Ikut Sunah Nabi



Al Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata: “Dalam mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w terdapat keberkatan dalam mengikuti syari’at, meraih keredhaan Allah, meninggikan darjat, mententeramkan hati, menenangkan jiwa, hindari daripada hasutan syaithan, dan berjalan di atas jalan yang lurus.” (Dharuratul Ihtimam, hal. 43).

Ikuti pengalaman seorang Muslimah dalam melakukan aktiviti berkuda sebagai salah satu Sunnah Nabi.


HEZLIN pernah menunggang kuda menyusuri tepian pantai di Pantai Senok, Bachok, Kelantan.

BARANGKALI ada yang bersifat skeptikal dengan penampilan Hezlin yang berimej Muslimah lengkap berpurdah tetapi minatnya terhadap haiwan seperti kucing dan kuda cenderung diinterpretasikan sebagai berjiwa liar dan bebas.

Hezlin sejujurnya berkata, Islam mendidik umatnya agar menyayangi semua hidupan di muka bumi.

"Saya sukakan haiwan. Saya sukakan kucing, anjing, kuda, semualah. Islam pun galak umatnya sayangkan hidupan lain.

"Sahabat Nabi, Abu Hurairah yang merupakan perawi hadis pun mendapat gelaran namanya itu kerana sukakan kucing," katanya yang sudah 16 tahun mengenakan purdah.

Lazimnya, pada sebelah petang, Hezlin akan berkunjung ke Kelantan Polo Club di Kota Bharu untuk melakukan aktiviti yang lebih lasak iaitu menunggang kuda.

Kelibat wanita yang berpakaian serba hitam lengkap berpurdah menunggang kuda bak srikandi Muslimah itu bukan suatu yang asing di situ.

"Saya lakukannya sebagai riadah dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Berjubah dan memakai purdah tidak menghalang saya untuk melakukan aktiviti lasak seperti menunggang kuda," katanya yang memiliki seekor kuda.

Tambahnya, sebagai seorang yang berimej tipikal ekstrem Islam di minda masyarakat Barat, tindakannya yang menyayangi haiwan sekurang-kurangnya menjadi jentolak yang meruntuhkan persepsi mereka terhadap Islam yang sering dilihat sebagai jumud, terkongkong dan tidak mengasihi binatang.

"Selain menjadi ahli Kelab Kucing Malaysia, saya merupakan ahli Persatuan Kucing Bengal Antarabangsa (TIBCS). Rumah kucing saya, Kittunkatz Bengals Cattery (Kittunkatz) turut masuk dalam majalah antarabangsa Bengal Bulletin.

"Saya bawa nama Islam dan Malaysia. Saya berkawan rapat dengan ahli-ahli dari Kanada, Amerika Syarikat dan Jerman.

"Saya mengubah tanggapan mereka terhadap Islam, tidak seperti yang dimomokkan di benak mereka.

"Mereka menjadikan saya contoh dan berharap orang lain di negara saya mencontohi saya dengan menyediakan ruang untuk kucing yang cukup selesa tanda kita benar-benar menyayangi haiwan.

"Ada juga yang tertarik untuk masuk Islam. Saya adalah bukti bahawa apa yang kita pakai, tidak menyekat kita daripada melakukan banyak perkara," katanya optimis.


Keratan daripada akhbar KOSMO: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm



Hezlin juga mempunyai blog kudanya sendiri yang ingin dikongsikan pengalamanya semasa mengikuti aktiviti berkuda seperti endurance, beriadah, bersukan, hobi dan juga aktiviti bersama keluarga, selain itu banyak lagi topik-topik yang menarik dapat melalui blog 'KUDA KELANTAN' seperti manfaat berkuda untuk kesihatan, faedah berkuda, kelebihan berkuda, Polo Club, tips pertama kali menunggan kuda, perlumbaan kuda dan banyak lagi. Apa yang menarik anda dapat melihat sendiri Hezlin menunggan kuda di persisiran pantai melalui klip video yang dimuat naik dengan berpakaian muslimah serba hitam. Selain tentang kuda, kucing dan topik lain juga boleh didapati diblognya iaitu http://bonekahati.blogspot.com/



No comments:

Post a Comment