Sunday 7 July 2013

Menjadi Penunggang Kuda yang Baik

Sumber Dari : http://asequine.blogspot.com/2011/01/apa-yang-menjadikan-seorang-penunggang.html


Untuk menjadi seorang penunggang kuda yang baik, seseorang penunggang memerlukan empat perkara utama iaitu kecergasan, fleksibiliti, kesimbangan (balance) dan attitude.

Mungkin sesetengah orang berpendapat dalam menunggang kuda hanya kuda yang membuat segala kerja dan penunggang hanya mengikut apa yang kuda buat (seperti menunggang motorsikal). Dengan kata lain hanya duduk saja atas belakang kuda. Sebenarnya tidak, penunggang yang baik mestilah cergas, mempunyai  kekuatan otot kaki terutamanya peha, perut dan belakang. Bahagian ini penting bagi membolehkan  penunggang duduk dengan tegap di atas kuda dan mudah untuk mengawal kuda. Menunggang boleh memenatkan disebabkan tuntutan fizikal kepada penunggang, jadi semakin cergas (fit) seseorang penunggang adalah semakin baik dan dapat merasai keseronokan ketika menunggang.

Fleksibiliti amat penting bagi penunggang untuk membuat perubahan dan pertukaran kedudukan dengan cepat dan mudah. Pergerakan kuda mungkin kadang-kadang mengejutkan, jadi badan penunggang perlu fleksible untuk mengikut pergerakan kuda.

Balance lebih merujuk kepada kedudukan badan penunggang ketika menunggang. Ianya amat penting supaya penunggang berada tegap di atas kuda dan dapat mengawal kuda ketika menunggang. Jika kedudukan penunggang tidak seimbang, akan menyebabkan ia sukar mengawal kuda dan berkemungkinan boleh jatuh.

Kemesraan antara kuda dan penunggang

Satu aspek yang paling penting dalam mencapai standard menunggang kuda yang baik ialah attitude.Penunggang yang baik mesti  dapat memahami dan sekurang-kurangnya menyukai kuda walaupun tidak menyayanginya. 

Kuda merupakan haiwan yang mempunyai kebolehan 'merasai' dan akan memberi respon terhadap perasaan takut pada penunggang. Jika penunggang takut atau tertekan, kuda akan lebih rasa takut yang menyebabkan kuda sendiri tertekan dan mengambil peluang berkelakuan yang tidak baik. Oleh itu penunggang perlu relax. Dalam hal ini, menunggang kuda bukan semata-mata penunggang yang mendominasi kuda tetapi ia lebih kepada perkongsian (partneship) - saling mempercayai. Kebanyakan penunggang yang baik biasanya mempunyai hubungan yang amat baik dengan kuda yang ditungganginya (bonded).





Usahawan Kuda

Sumber Dari :
http://azmipasak.blogspot.com/2012/10/usahawan-kuda.html



TUMPAT, KELANTAN:  HOBI menternak kuda dan melakukan aktiviti yang bersabit dengannya bukan sahaja memberikan banyak manfaatnya kepada diri sendiri, namun selebihnya juga dapat dimanfaatkan oleh orang lain dalam konteks pelbagai sudut. Selain individu yang mengusahakannya bergelar "usahawan kuda" tetapi juga ilmu yang dimiliki tentangnya boleh dikongsi bersama dengan orang lain dan dalam masa yang sama, akan mewujudkan aktiviti yang berfaedah untuk dinikmati oleh orang lain pula.

Seorang pemilik dan pengusaha kuda yang layak digelarkan usahawan muda, Anas bin Ariffin, 19, atau lebih dikenali sebagai Anas dari Kampung Paloh, Palekbang, Tumpat, Kelantan berkata, beliau mengusahakan ternakan kuda ini pada awal tahun 2004 bersama bapanya. Beliau yang telah dilabelkan sebagai "usahawan kuda" berbuat demikian kerana didorong oleh minat yang begitu mendalam selain dapat menjadikan haiwan berkenaan sebagai haiwan tunggangan yang terbaik untuk golongan muda dewasa ini.

"Minat utama saya ialah menunggang kuda. Ini kerana, orang suka menunggang kuda kesihatannya akan lebih terjamin, apabila urat dan saraf manusia seperti dirawat secara tidak langsung", ujarnya ketika ditemui Penulis di kediamannya.

Katanya, kebanyakan kuda yang diternaknya itu dibeli oleh bapanya dari Kuala Terengganu dan tentang harga menurutnya agak tidak menentu. Misalnya "kuda padi" boleh dibeli dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 seekor. Manakala jika kuda baik dengan harga RM8,000 hingga RM11,000 pun ada. Lazimnya, kuda yang baik ini beliau akan membuat kacukan untuk mendapatkan generasi baka yang baik juga.

Di antara kuda baik yang dimaksudkannya selain kuda padi terdiri dari kuda Arab, Angelo dan Telebrate. Kuda padi lazimnya diperolehi dalam negara kita. Misalnya kuda Angelo adalah sejenis kuda kacukan dari Arab dengan baka lain.

"Lazimnya, kuda yang boleh ditunggang apabila mencecah usia tiga tahun kerana dalam usia berkenaan tahap ketahanan dan kecergasan kuda agak minimum. Manakala untuk kuda racing dalam usia antara 5 hingga 6 tahun", ujarnya.

Dalam pada itu menurut Anas, sesetengah pemilik kuda gemar memasang ladam di kaki kuda untuk menjadikan kaki kuda agak kuat selain sebagai alat keselamatan kaki haiwan tersebut. Namun bagi beliau, pilihan adalah di tangan pemilik dan pengusaha kuda itu sendiri. Ini kerana, sepanjang penglibatan beliau dalam ternakan kuda beliau tidak pernah memasang ladam untuk kudanya setiap kali membawa kuda berkenaan memasuki pertandingan atau bersiar-siar di luar kandang.

Menurut Anas lagi, kuda yang diternak dan dilatihnya itu hanya khusus untuk pertandingan dan perlumbaan peringkat Negeri Kelantan sahaja. Biasanya kuda jenis ini tahap kelajuan haiwan berkenaan mencecah 60 kuasa kuda sahaja.

Tambahnya, amalan yang sering dilakukannya untuk memberi makanan kepada kuda-kuda yang diternaknya hanya dua kali sehari iaitu di sebelah pagi dan malam. Di antara jenis makanan kuda seperti salad kuda, rumput segar (seperti rumput lembu). Namun, terdapat makanan kuda yang sering diberikan oleh kebanyakan penternak kuda dikenali sebagai makanan racing di mana harganya melebihi RM200 (bagi tiga kilo). Perbelanjaan makanan kuda (khusus untuk seekor kuda) hanya sebanyak RM10 sehari sahaja.

Bercerita tentang pertandingan yang pernah dihadirinya, kuda-kuda beliau pernah memasuki pertandingan yang diadakan di Kota Bharu seperti di Jalan Padang Tembak (Pengkalan Chepa), Pasir Hor (Kota Bharu) dan di Pasir Puteh. Katanya, kuda yang diternak dan dilatihnya itu pernah berentap dan menyandang "juara" beberapa kali setiap kali memasuki pertandingan lumba kuda dan setakat ini telah menyandang juara sebanyak lima kali.

"Di antara kategori kuda yang dibolehkan memasuki sesuatu pertandingan seperti kuda padi dari kategori A, B, C, D dan kacukan Kelantan. Manakala kuda dari kategori A lazim digunakan dalam setiap pertandingan kerana kuda berkenaan memang khusus untuk tujuan itu", ujarnya.

Bercakap tentang penyakit yang dihidapi kuda, menurutnya kuda juga seperti haiwan ternakan lain seperti lembu juga menghidap penyakit. Menurutnya, apabila kuda dihinggapi penyakit terpaksalah pihaknya mendapatkan khidmat seorang doktor haiwan dan Doktor Jaafar adalah seorang doktor haiwan yang agak disegani di Palekbang. Katanya, rawatan yang diberikan terhadap kuda dibuat apabila melihat kuda-kuda terbabit mengalami masalah kesihatan, terpaksalah doktor haiwan dipanggil dengan segera. Manakala ubat kecacingan diberikan dalam tempoh enam bulan sekali, ini termasuklah vitamin untuk kuda.

Manakala kuda yang mengalami masalah kesihatan dapat dikesan secara fizikal seperti keadaan kuda yang murung. Tetapi jika kuda berkenaan menunjukkan lebih daripada stamina dan semakin galak untuk menunjukkan kuda-kuda berkenaan dalam keadaan sihat dan cergas, malah lazimnya kuda-kuda berkenaan paling sukar untuk dipegang talinya.

"Kuda juga boleh dimakan sebagai "penawar kesihatan". Lazimnya, kuda yang mengalami masalah kesihatan sahaja yang disembelih untuk dimakan", katanya.

Sambungnya, najis kuda memang berbeza dengan najis lembu. Najis kuda tidak berbau busuk tetapi najis lembu bukan sahaja agak busuk, mengotorkan persekitaran tetapi amat bahaya kepada pernafasan manusia. Najis kuda memang senang dibuang kerana rupanya yang seakan dengan warna tanah, malah pernah juga dijadikan sebagai baja. Biasanya, najis kuda dicampur dengan habuk kayu untuk tujuan itu.
Katanya, bagi penunggang yang belum pernah naik kuda, salah seorang penjaga kuda perlu memegang kuda berkenaan untuk mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak diingini, apabila kuda tersebut terkejut dengan kehadiran seseorang yang tidak mahir dengan keadaan kuda.

"Kuda memang kenal dengan penjaga atau tuannya melalui "suaranya" yang girang. Apabila kuda itu mengenali seseorang, kuda akan mengeluarkan suara gembira sebagai tanda haiwan berkenaan menerima kedatangan orang terbabit.

"Lazimnya, untuk menjadikan kuda mengenali penjaga dan tuannya, tuannya itu perlu sentiasa berada di samping kudanya dalam tempoh masa tiga jam sahaja pun dianggap sudah memadai.

"Biasa terjadi, kuda amat takut terhadap orang yang tidak dikenali yang cuba mendekatinya, kuda berkenaan akan bertindak berlari dengan mengejut dan pantas. Apabila orang yang tidak dikenali itu cuba menyentuh dan menaiki kuda, kuda berkenaan akan melambung-lambungkan mangsanya supaya jatuh sebagai amaran untuk tidak menyentuh kuda tersebut", tambah Anas lagi.

Sementara itu menurut seorang peminat kuda, Mohd. Tarmizi bin Abdul Rahman, 33, atau lebih dikenali sebagai Megat dari kampung yang sama berkata, beliau merupakan seorang peminat tegar kuda. Selepas waktu kerja dan apabila mempunyai ruang masa, beliau akan ke rumah Anas untuk cuba menunggang kuda yang menjadi kegemarannya sejak dulu.

"Saya berminat dengan kuda sejak dari zaman kanak-kanak, namun disebabkan ketika itu kuda belum ada lagi, minat saya sekadar tinggal minat saja", katanya.

Menurutnya, semenjak sering ke rumah Anas kerana tinggal di kampung yang sama, beliau pernah beberapa kali menunggang kuda berkenaan. Ketika ditanya tentang perasaannya dapat menunggang kuda tersebut, beliau agak begitu seronok dan senang hati kerana dapat menunggang haiwan berkenaan. Kalau diharapkan untuk memilikinya sendiri, beliau tidak mampu berbuat demikian.

Tambahnya, bagi setiap penunggang baru akan merasai pengalaman seperti mudah terjatuh kerana belum biasa duduk di atas belakang kuda. Apatah lagi, sesetengah kuda terutamanya bagi kuda yang baru diajar, pasti akan terkejut kerana merasai sesuatu yang belum pernah dialami oleh kuda tersebut.

"Kuda mempunyai keistimewaan dan menjadi penawar untuk beberapa jenis penyakit yang dialami oleh manusia seperti dapat merawat uluran terutamanya uluran angin, urat saraf dan sebagainya. Jadi, bagi sesiapa yang berharap kepada kesihatan yang baik, cuba-cubalah menunggang kuda, pasti akan mendapat jawapannya", jelasnya.

Beliau juga berharap kepada golongan muda yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan supaya berjinak-jinak dengan aktiviti berkuda, kerana selain memperolehi pengalaman baru, paling utamanya ialah kita akan dapat mengetahui tentang dunia haiwan dan dapat menyemai sifat sayangkan haiwan sebagai rakan akrab yang saling memerlukan.

Anas bin Ariffin
  
Anas ketika ditemubual Penulis di kediamannya

Penulis Blog azmipasak.blogspot.com cuba untuk menunggang kuda

Antara kuda milik kepunyaan Anas di stablenya.










Lahir Jaguh Ekuestrian Kelantan





KOTA BHARU 8 Mei - Menunggang kuda antara riadah yang disebut secara jelas dalam petikan hadis Rasulullah SAW sebagai salah satu sunah yang dituntut untuk diajarkan khususnya kepada generasi muda selain aktiviti memanah dan berenang.

Kemahiran manusia 'bersatu' dengan ketangkasan kuda semasa mengendalikan haiwan gagah itu berupaya membentuk peribadi unggul yang mempunyai fizikal cergas dan minda yang tenang dalam menghadapi apa-apa jua situasi.

Tidak dapat dinafikan wujud banyak cabang berkaitan aktiviti menunggang kuda, tetapi agak malang ia diungguli masyarakat Barat meskipun mempunyai akarnya dalam ajaran Islam. 

Sukan ekuestrian seperti dressage dan jumping misalnya adalah antara jenis acara utama yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik sekali gus memberi peluang atlet terlibat menghadiahkan pingat untuk negara mereka. Antara nama tersohor yang meniti di bibir peminat adalah atlet Jerman, Michael Jung, juara unggul di pentas kejohanan ekuestrian dunia masa kini.

Negara kita pula boleh berbangga dengan pencapaian Qabil Ambak, jaguh dressage yang pernah menggondol pingat perak dan gangsa dalam Sukan Asia dan setakat ini masih belum ada tandingannya.
Namun, jika tidak dipecahkan ruyung masakan mendapat sagunya.

Justeru berbekalkan minat tinggi dan sokongan rakan-rakan, seorang guru, Mohd. Faizal Ismail, 43, menubuhkan Kelab Poni Kelantan pada 2004 dengan tujuan melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang ekuestrian.

Dalam masa sama, Mohd. Faizal yang mengajar Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di sini mahu menggunakan peluang itu sebagai 'tiket' membolehkan beliau sendiri mengambil bahagian mewakili kelab ke kejohanan atau pertunjukan kuda, malah pernah menduduki tempat keenam keseluruhan acara dressage semasa National Horse Show 2010 di Ipoh, Perak.

"Saya amat minat sukan dressage dan jumping kerana ia menuntut disiplin tinggi daripada penunggang. Ia adalah sukan yang menonjolkan hubungan semula jadi antara manusia dan haiwan.

"Apabila berada dalam gelanggang, seorang penunggang bukan bergantung kepada kemahiran seorang tetapi juga kuda dan dalam masa sama perlu bijak mengawal emosi diri dan kuda di hadapan khalayak.

"Sukan ini memperlihat keseluruhan perawakan penunggang daripada pakaian kepada komunikasinya dengan kuda, paling utama adalah bagaimana dia menyeimbangkan kedudukan badannya dengan kuda.

"Kami bukan melatih golongan muda yang menyertai sukan 'berlumba' kuda laju sembarangan, tetapi menunjuk ajar cara menunggang dengan disiplin tertentu mengikut peraturan bagaikan satu seni yang menggabungkan kudrat manusia dan haiwan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bagi anda yang pernah menonton siaran langsung Sukan Olimpik di kaca televisyen, pasti pernah melihat kelibat penunggang kuda berpakaian segak dengan topi, jaket dan kasut but hitam serta seluar jopper putih menunggang kuda dengan aksi 'santun' tetapi tangkas sambil disaksikan ribuan pasang mata di sekeliling gelanggang.

Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (IEF) mendefinisikan dressage sebagai bentuk paling tinggi latihan kuda di mana penunggang dan kuda perlu menghasilkan siri pergerakan tertentu yang sudah ditetapkan, manakala jumping pula memfokuskan kepada kemahiran melompat pagar.

Mohd. Faizal yang lulus Sijil O Level pengurusan kuda pada 2000 dan merupakan instruktor Kelab Poni bertauliah Majlis Ekuin Malaysia (MEM) tunggal di Kelantan berkata, pihaknya juga menyelaras program Riding in School (RISP) Majlis Sukan Sekolah - sekolah Malaysia (MSSM) di negeri ini yang bermatlamat mencambahkan lagi penyertaan awam dalam sukan itu terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

Jelasnya, kelabnya yang kini melatih 25 penunggang, beroperasi di tanah lapang milik Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) di Pengkalan Chepa dan sebagai timbal balik pihaknya membantu mengendalikan program terapi kuda untuk pemulihan kanak-kanak OKU yang berdaftar dengan yayasan tersebut.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Faizal berkata, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan penuh MEM yang bukan sahaja membekal lima kuda untuk kegunaan kelab, bahkan menanggung pembiayaan makanan harian haiwan tersebut seperti palet beras dan rumput kering.

Jelasnya, kuda-kuda tersebut digunakan untuk latihan dan pertandingan seluruh negara seperti kejohanan wajib bagi peminat sukan ekuestrian tempatan iaitu National Horse Show di Pulau Pinang dan Perak yang mula disertai kelabnya sejak 2005.

"Kuda import yang berusia purata 14 tahun ini mempunyai nama asal yang unik iaitu Portous, Farouk, Laoma, Plush Lady dan Baja King. 

"Antara langkah memastikan kesihatan kuda ini adalah dengan memberi suntikan mencegah jangkitan penyakit seperti Japanese Encephalitis (JE) dan Equin Influenza (EI) selain suntikan tambahan khusus yang dikenakan sebelum menyertai pertandingan, contohnya suntikan Tetanus dan Herpes mengikut syarat penganjur," katanya.

Menyentuh mengenai cara latihan di kelab poni itu, beliau memberitahu, penunggang semuda usia enam tahun ditunjukkan cara mengendalikan kuda dari A sampai Z iaitu bagaimana kuda seharusnya dilayan dalam kandang, memberi makan dan membelai sehinggalah kepada kaedah menunggang mengikut disiplin sebenar sukan ekuestrian.

"Jangan silap sangka bahawa kita ini bertaraf 'tuan' kepada kuda, tetapi seorang penunggang sebenarnya juga adalah 'hamba' kepada kuda. 

"Setiap pelatih wajib membuang najis kuda dan membersihkan kandang serta memandikan kuda setiap kali selesai sesi latihan," katanya.

Mohd. Faizal berkata, kelab tersebut membuka pintu seluas-luasnya kepada yang berminat tanpa mengira umur.

Di sebalik kekangan kewangan, katanya, dia bersyukur kerana dengan sokongan pelbagai pihak, kelab itu sudah berjaya melahirkan beberapa bakat yang diyakini berupaya menguasai dunia ekuestrian negara satu masa nanti.

"Antara bakat terbaik kelab kami adalah Ahmed Ezihan Shafizie Sazali, 20, yang pertama kali terpilih mewakili Kelantan dan mendapat tempat keempat di Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu dalam acara showjumping ketika berusia 15 tahun serta menjadi johan acara sama semasa mewakili kelab ini ke kejohanan Penang Turf Club Equestrian Horse Show pada 2010.

"Seterusnya, Ahmed Ezihan dijemput mewakili Pulau Pinang semasa Sukma 2012 di Pahang sehingga berjaya membantu negeri itu menduduki tempat keempat acara ekuestrian berpasukan. 

"Pada tahun ini, dia bersama seorang lagi penunggang berbakat kami iaitu Mohd. Aminuddin Ali, 21, dilamar pula pasukan Perak untuk acara sama," katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang giat membuat persiapan dan latihan bagi menghantar 15 wakil menyertai kejohanan Universiti Teknologi Malaysia International Johor Horse Show (UTM IJHS) 2013 pada bulan Jun ini.

Sementara itu, salah seorang pelatih kelab yang ditemui, Nik Irdiana Asilah Nik Yusoff, 11, berkata, dia menyertai kelab itu sejak tahun lalu mengikuti jejak langkah kakaknya, Nik Nadhrah, 15, yang menyertainya lebih awal.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Kota Bharu itu memberitahu, seorang pelatih perlu melepasi tahap tertentu seperti pandai memandikan kuda sebelum dibenarkan berlatih menunggang haiwan itu.

"Saya juga kena tahu kegunaan setiap peralatan yang dipasang kepada kuda, contohnya pemijak kaki besi, pelana dan tali kekang serta mesti memastikan cara pemasangan betul jika tidak kena marah dengan Cikgu Faizal.

"Ketika membawa kuda keluar dari bangsal, penunggang muda seperti saya perlu ditemani pelatih lain yang lebih dewasa sebagai langkah keselamatan.

"Saya pernah jatuh semasa berada atas kuda yang sedang makan rumput, mujurlah saya hanya luka kecil sahaja dan ia tidak menjejaskan semangat saya untuk terus berlatih menunggang," katanya.
Kakaknya, Nik Nadhrah berkata, dia mengamalkan bacaan lafaz dua kalimah syahadah sebagai cara menenangkan kuda yang ditunggangnya tidak kira ketika latihan ataupun pertandingan dan bercita-cita besar untuk mewakili negara dalam sukan ekuestrian.

Bagaimanapun, gadis berperwatakan lembut itu berkata, dia pernah kecewa apabila kuda bernama Laoma yang ditunggangnya bertindak keluar gelanggang semasa menyertai acara dressage kejohanan UTM IJHS 2012 pada April tahun lalu.

"Saya menangis kerana seolah-olah saya ini seorang yang tidak pandai mengawal dan mengambil hati kuda, tetapi ibu menemani saya dalam pertandingan itu memujuk saya agar tidak berputus asa, begitu juga dengan peserta senior lain yang memberitahu saya bahawa insiden kuda membuat perangai bukanlah satu perkara pelik," katanya.

Seorang lagi pelatih yang juga penuntut tahun tiga Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Shirley Peter Magarif, 23, berkata, dia menyertai kelab berkenaan untuk mendalami lebih dekat sukan ekuestrian.

Katanya, sebagai bakal doktor veterinar, dunia ekuestrian adalah antara prospek masa depan yang akan ditempuhi, justeru adalah lebih baik dia mengutip sebanyak mungkin ilmu secara langsung dalam lapangan itu.

"Kebetulan kelab ini berdekatan sahaja dengan kampus UMK, jadi saya mudah untuk berulang alik setiap kali ada kelapangan waktu," katanya.

Saturday 6 July 2013

Video KSB - 05 Julai 2013


Kejohanan Sukan Berkuda (KSB) bertempat di Pantai Mek Mas, Kuala Besar, PCB Kelantan, Pada 05 Julai 2013 yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Berkuda KB Hilir.


_________________________________________________________________________________________________________________
Akhir - Kategori Kuda BIMO


Keputusan :

1. Lava-Lava – Yudin Tayar
2. Queen – Arif Stable
3. Rock One –
4. Chinta  - Yudin Tayar
5. Richard – Wan Tendong
6. Firefly – Sri Hana
7. D.K – Sri Pauh Stable



_________________________________________________________________________________________________________________
Akhir - Kategori Kuda KKA





Keputusan :

1. Mek Ling – Tebing Tinggi
2. Canturu – ALK Stable
3. Mek Queen – Night Rider



_________________________________________________________________________________________________________________
Akhir - Kategori Kuda KKB




Keputusan :
1. Jelita – JL Fara
2. Mek Tom – Kbg. Golok
3. Tasha – Paloh Stable
4. Jason - Periok
5. Zara – PDA Stable
6. Chiko -



_________________________________________________________________________________________________________________
Akhir - Kategori Kuda PADI A


 Keputusan :

1. Jazzy – JL Fara
2. Kasih – Wan Tendong
3. Selamat - Anamali
4. Rihanna – Tanah Merah
5. Wati - Periok
6. Osama - Tapang
7. Spirit – Bukit Perapit
8. Darling - PCB



_________________________________________________________________________________________________________________
Akhir - Kategori Kuda PADI B




Keputusan :

1. Puteri Manja - Adamas
2. Ratu – Wan Tendong
3. Manis Ayu - PCB
4. Bella – WTK Stable
5.
6. Power Pelesit – Sri Pauh
7. Alisha – Jambu



_________________________________________________________________________________________________________________
Akhir - Kategori Kuda PADI C   




Keputusan :
1. Kilat – GTK Stable
2. Bunga – Arrow Stable
3. Rana – Sami Stable
4. Nilam Sari - Bubuk
5. Sofia - Kemumin